Bunyi ketukan kuat di pintu sayup-sayup dipendengaran Asma.
“ Asma, bangun nak,” terdengar suara ummi memanggil. Asma terpisat-pisat.
“ Asma!!!” semakin lantang suara ummi mengejutkannya dari tidur.
“ Ya, ummi. Asma bangun ni,” kata Asma dengan perasaan malas. Dia masih berbaring di atas katil. Asma memandang ke arah telefon bimbit kepunyaannya. Hatinya mengeluh. Dia bingkas bangun dan menuju ke arah pintu. Sebelum keluar dari bilik dia berdoa di dalam hati agar sejurus dia kembali ke bilik, sudah ada pesanan untuknya. Dia melangkah keluar dari bilik dan menemui ummminya.
“ Selamat pagi, ummi. Sayang ummi,” dia memeluk umminya dari arah belakang.
“ Selamat pagi. Awal kamu bangun hari ni?” umminya menyindir. Dia melihat ke arah jam menunjukkan pukul 8.50 pagi.
“ Ala ummi, baru pukul 8,” jawab Asma sambil tersengih.
“ Banyaklah pukul 8. Dah nak dekat pukul 9 tau. Orang zaman dulu pukul 9 tu dah bermacam-macam kerja boleh selesai. Kamu tau tak? Kalau zaman sekarang pukul 12 pun masih dikatakan awal lagi,” umminya membebel kepadanya. Asma hanya mampu tersengih bagai kerang busuk. Dia mengambil cucur yang dibuat oleh umminya lalu dimasukkan ke dalam mulut.
“ Hah! Ni dah gosok gigi ke belum ni?” tanya umminya sambil mengetuk tangannya.
“ Dah la ummi. Tadi waktu subuh Asma bangun. Hehe...” suka hatinya dapat mengenakan umminya.
“ Yalah. Dah tidur air liur pun dah basi,” umminya masih tidak berpuas hati dengan tingkah anak bongsu kesayangannya itu.
“ Ummi, Rasulullah pun pagi-pagi sebelum subuh minum air masak tau. Tak gosok gigi pun,” hatinya riang melihat wajah umminya yang kemerah-merahan menahan geram.
“ Yalah uztazah. Ummi kalah,” jawab umminya sambil tersenyum.
Gelagar dua beranak itu hanya dipandang oleh lelaki separuh abad yang sedari tadi menjadi pemerhati.
“ Ummi. Tengah hari nanti Asma nak keluar. Nak pergi Jusco. Ummi ikut tau. Asma nak beli buku sikit,” kata Asma meminta kebenaran umminya sekali gus mengajak umminya untuk keluar bersama.
“ Sejak bila anak ummi ni keluar ajak ummi?” tanya Puan Sariah sambil mengerut dahinya kerana pada kebiasaannya dia akan meminta kebenaran untuk keluar bersama Rafi.
“ Ala, sekali sekala anak nak keluar dengan ibunya. Takkan salah kot?” Asma menyembunyikan rasa yang hadir.
“ Kamu tak keluar dengan Rafi? Dah lama ummi tak nampak dia. Kali terakhir ummi nampak dia sewaktu majlis Along. Lepas tu, ummi tak nampak dah. Kenapa?” tanya umminya.
“ Dia sibuk kot. Ummi sibuk ke tengah hari nanti?” Asma pula bertanya.
“ Ummi kena pergi ke rumah Tok Senah. Dia ada pesan kat ummi suruh datang rumah dia. Ada kenduri sikit. Tapi kalau kamu nak keluar, ummi benarkan,”
“ Takpelah. Nanti Asma ajak Harithlah. Ummi bagikan Asma keluar dengan Harith?” Asma meminta kebenaran lagi.
“ Harith anak makcik Riska tu ke?”
“ Ha,ah. Itu pun kalau dia tak keberatan,”
“ Boleh. Ummi benarkan,” ummiya memberi kebenaran. Sepantas kilat dia berlari ke bilik dan mencapai telefon bimbitnya. Terdapat beberapa mesej. Terdapat empat mesej kesemuanya. Satu daripadanya dari nombor yang tidak dikenali. Dua daripadanya mesej dari Harith. Dan satu mesej dari orang yang dinanti-nanti olehnya. Segera dia membuka mesej dari...
“ Salam. Terima kasih kerana masih mengingati tarikh ni. Awak sihat? Terasa lama benar tidak menghubungi awak” – Rafi.
“ Salam,sayang. Boleh kita keluar hari ni?” – Harith
“ Awak? Mengapa diam ni?” – Harith.
“ Boleh saya tahu awak siapa?” – 01276755313
Ulam dicita pucuk mendatang. Dia segera membalas mesej dari Harith.
“ Maafkan saya. Tadi saya di luar. Telefon di dalam bilik. Saya baru nak ajak awak keluar. Nanti pukul 1.30 datang rumah saya yer. J” – Asma. Asma tersenyum gembira. Entah mengapa hatinya senang dengan ajakan itu sedangkan sebelum ini dia sedaya mengelak pelawaan dari Harith.
“ Baiklah. Nanti saya datang rumah awak. J” – Harith.
Dia membalas pula mesej dari Rafi.
“ Salam. Saya sihat saja. Awak pula? Saya harap awak gembira dengan dia yang hadir sebelum saya. Pasti dia seorang yang istimewa.”- Asma.
Jeda.
Lama dia menanti balasan dari Rafi. Sementara itu dia membalas pula mesej dari orang yang tidak dikenalinya.
“ Salam. Maaf bertanya. Awak ni siapa? Boleh saya tahu?” - Asma.
Beep...
“ Saya ni Dahlia, awek Rafi. Awak ni Asma yer?” – Dahlia. Berderau darah Asma membaca mesej tersebut. Namun sedaya upaya dia mengawal perasaan yang mampir itu.
“ Ya, saya Asma. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” – Asma.
Dia masih berlagak seperti biasa sedangkan hatinya sudah bernanah.
“ Saya cuma nak mengenali awak dengan lebih rapat. Itu pun kalau awak tidak keberatan.” – Dahlia.
“ Mengapa pula awak nak berkenalan dengan saya?” – Asma
“ Rafi selalu cerita tentang awak kepada saya.” – Dahlia.
“ Oh, iyakah? Saya rasa lebih baik kita tak perlu saling mengenali.” – Asma.
“ Kenapa?” – Dahlia.
“ Kita sama-sama perempuan. Jadi saya harap awak faham dan hormati perasaan saya. Salam.” – Asma.
Akhirnya empangan matanya rebah juga. Sekali lagi dia menangis kerana lelaki yang tidak menghargai kesetiaannya itu. Air mata yang mengalir bukan kerana dendam. Tetapi kerana kasih yang hilang menjejak kekasih lama. Itulah punca utamanya. Puas dia mencari kesalahan dirinya kerana Rafi berpaling dari kasihnya. Namun, itu tidak mampu mengusir rasa yang hadir. Dia membelek wajahnya di cermin. Apa kurangnya diri ini? Getus hati kecilnya.
Sejurus kemudian dia mencapai tuala dan bergerak ke bilik air untuk membersihkan dirinya.
Jam menunjukkan pukul 1.30 petang. Ummi dan abinya sudah hampir setengah jam keluar. Asma duduk di atas bangku hadapan rumahnya. Kedengaran bunyi kereta berhenti di hadapan pagar rumahnya. Dia segera berlari-lari anak menjenguk adakah Harith yang datang. Betul tekaannya. Kereta Lancer Evo10 tersadai di hadapan rumahnya. Dia segera mengunci pintu rumah dan pagar. Sebelum masuk ke kereta sempat sahaja dia membetulkan tudung di atas kepala.
“ Hai, cantik awak hari ni? Ada apa-apakah?” Harith menyapa sambil memerhatikan wajah Asma.
“ Awak pun hensem jugak hari ni,” tegur Asma.
“ Jadi kita nak ke mana?” tanya Harith.
“ Saya nak ke Jusco. Awak macam mana pula?”
“ Saya okay saja. Untuk awak ke mana sahaja saya sanggup pergi,” kata-kata Harith membuatkan Asma tersenyum bangga.
“ Yalah tu. Jom kita ke Jusco. Esok birthday awak bukan? Mari kita cari hadiah untuk awak,” cadang Asma.
“ Awak ingat birthday saya? Terharunya. Saya ingatkan saya ni bukan siapa-siapa untuk awak,” kata Harith sambil terharu. Kereta mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah Asma.
“ Kenapa pula awak kata macam tu? Kita bukan ke dah lama berkawan?” tanya Asma.
Harith hanya tersenyum. Asma membalas senyuman Harith.
“Awak, boleh saya tanya sesuatu?” tiba-tiba Harith bertanya setelah masing-masing membisu seribu bahasa.
“ Tanyalah,”
“ Awak dengan .....,”
“ Siapa?”
“ Dengan Rafi masih ada apa-apa?”
“ Em. Kenapa awak tanya ni?” Asma mula rasa tidak senang duduk. Air mukanya terus berubah. Harith yang melihat perubahan ketara itu kelihatan serba salah.
“ Err... Maafkan saya kalau saya tersalah cakap,”
“ Tidak mengapa. Saya harap awak tak tanya lagi tentang dia,” pinta Asma.
“ Baiklah. Saya minta maaf,”
“ Tidak mengapa,”
Perbualan terhenti setakat itu sahaja. Sampai sahaja di Jusco, Asma mengajak Harith ke kedai buku. Sambil mencari buku yang dimahukan, Asma ramah bercerita dan bertanya kepada Harith lagaknya seperti Harith itu adalah Rafi. Harith hanya melayan kerenah Asma. Tanpa disedari ada mata yang memerhati dari jauh. Mata itu hanya mampu memandang sepi gadis lincah itu. Seusai membeli buku yang dicari, Asma mengajak Harith ke tingkat atas kerana ingin membelikan hadiah untuknya. Tanpa disengajakan, Asma menarik tangan Harith dan menggenggam jari jemari Harith dengan erat. Harith terkesima. Tiba-tiba Asma melepaskan pegangannya, akan tetapi Harith pula menggenggan jemarinya bagai tidak mahu melepaskannya.
“ Awak,” tegur Asma sambil cuba merenggangkan tangan Harith.
“ Oh, maafkan saya,” Harith malu dengan perlakuannya itu.
“ Tak. Saya yang patut minta maaf,” kata Asma sejujurnya.
“ Tak mengapa. Tak mengapa. Kita lupakan sahaja. Em.. Awak nak ke mana?” Harith cuba menyembunyikan perasaan yang hadir tiba-tiba. Degupan hatinya yang kencang itu sedaya upaya dikawalnya. Dia cuba mengukir senyuman dalam perasaan yang tidak keruan. Terasa panas bahang sedangkan berasa dalam suasana ber‘air-cond’. Begitu juga dengan Asma. Dia cuba mengawal perasaannya. Dia mengutuk-ngutuk dirinya yang terlepas perbuatan.
“ Jom kita cari hadiah untuk awak. Esok bukan ke birthday awak?”
“ Iya tak iya juga. Awak nak cari apa untuk saya?” Harith tersenyum membuatkan Asma tidak keruan.
“ Awak nak apa? Kita jalan-jalan dulu,”
“ Kalau saya nak awak boleh dapat ke?” kata Harith sambil berbisik ke telinga Asma. Meremang bulu roma Asma dengan perlakuan Harith itu. Perbuatan itu kelihatan mesra ibarat pasangan kekasih yang hangat dilamun cinta. Sepasang mata itu, masih lagi mengekori gerak geri Asma tanpa disedari oleh Asma.
Asma hanya berdiam diri. Kehadiran Harith benar-benar tepat pada masanya.
Beep.. Menandakan ada mesej masuk. Asma segera memeriksa siapakah gerangan yang menghantar mesej kepadanya.
“ Seronoknya bermesra dengan dia.” – Rafi.
Asma hanya mengabaikan mesej yang dihantar walaupun hatinya berdetak adakah Rafi berada di sekelilingnya. Asma bersikap acuh tidak acuh sahaja dengan mesej yang diterimanya sedangkan hatinya memberontak ingin membalas mesej tersebut. Akan tetapi dia menghormati Harith yang menemaninya kala ini. Ketika sedang leka mencari barang yang ingin dihadiahkan kepada Harith, tiba-tiba barunya disentuh oleh seseorang. Asma memalingkan mukanya dan terkejut melihat gerangan yang menyentuh bahunya.
“ Err... Awak?” Asma benar-benar tidak menyangka akan bertemu dengan Rafi di situ.
“ Seronok keluar dengan dia?” tanya Rafi bersahaja.
Tiba-tiba Asma terasa berang dengan soalan yang ditujukan padanya itu. Dia hanya mendiamkan diri dan ingin segera keluar dari kedai tersebut. Akan tetapi Rafi seolah-olah tidak membenarkannya. Rafi memegang erat tangannya sementara dia sedaya upaya cuba melepaskan.
“ Lepaslah,” pinta Asma.
Namun permintaannya itu hanya dipandang sepi. Rafi merenung jauh ke dalam matanya membuatkan hatinya berdebar kencang. Asma cuba merentap pegangan Rafi tetapi tidak berjaya. Bagaikan hero Malaya Harith cuba merenggangkan ketegangan yang berlaku.
“ Lets her go, dude,” nada suara Harith perlahan namun tegas kerana dia tidak mahu mengecohkan keadaan.
“ Sayang,” terdengar suara lunak seorang perempuan membuatkan ketiga-tiga pasang mata itu memaling mencari arah suara itu. Gadis itu segera memeluk tangan Rafi dan membawa Rafi keluar dari kedai itu. Asma yang masih terkejut dengan situasi itu terkesima dan bingung. Dia termangu-mangu. Harith hanya memandang tanpa berkata-kata.
No comments:
Post a Comment