March 14, 2011

masih ada harapan 2

Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Asma masih lena dibuai mimpi tiba-tiba dikejutkan oleh bunyi alarm telefonnya, dia tersentak dan terjaga. Seketika dia terpisat-pisat dan terasa malas untuk bangun. 5 minit berlalu namun dia masih bermalas dia atas katil bujangnya itu. Hatinya yang rapuh belakangan ini sukar sekali untuk dibangunkan. Siapalah yang mengerti hati yang terluka untuk sekian kalinya. Begitu payah terasa untuk mempertahankan iman yang baru selangkah menapak dalam jiwa. Dia meraba-raba kelopak matanya terasa seperti sembap akibat menangis semalaman. Hatinya masih menangis. Mimpi yang masih jelas terlihat di ruang mata.

‘Asma ibarat berada di suatu tempat yang begitu serabut dipenuhi dengan juntaian akar-akar pohon yang begitu besar dan menakutkan di sekelilingnya. Di sebalik pemandangan yang ngeri itu, dia terlihat susuk yang amat dikenalinya. Apabila susuk itu menoleh, benar. Memang Dia! Rafi yang ditunggu muncul. Namun mengapa kehadirannya seperti dipandang endah tidak endah dan acuh tidak acuh. Rafi seperti tidak berperasaan atau seolah-olah tidak peduli akan kehadiran Asma di celahan pohon yang rendang dan besar itu. Asma hanya mampu memandang Rafi pergi tanpa sempat mengucapkan salam perpisahan untuk Rafi. Rafi yang menapak langsung tidak menoleh ke belakang lagi. Rafi terus melangkah dan melangkah penuh yakin meninggalkan Asma keseorangan.’

Astagfirullah. Asma bingkas bangun dan menuju ke bilik air yang bersebelahan dengan bilik tidurnya. Dia mencapai tuala dan menyempatkan diri membelek muka yang sembap. Dia cuba mengukir senyuman namun tetap hambar.

Tarikh yang dinanti oleh Asma akhirnya tiba. 4.12.2009 tiba juga akhirnya. Setiap tahun dia memang menantikan tarikh itu dengan penuh perasaan sayang. Tetapi tahun ini agak ketara perasaannya. Perasaan bercampur baur antara sayang, hiba dan kecewa dengan lelaki bernama Rifa’ah Rafi yang lebih gemar dipanggil Rafi oleh Asma. Sayang kerana usia perkenalan yang hampir mencecah 4 tahun terputus begitu sahaja semenjak kehadiran orang ketiga dalam perhubungan. Hiba bila mengingati kenangan setiap tahun yang hanya dia dan Rafi menyambutnya. Meskipun tidak didatangi dengan hadiah namun cukup sekadar saling mengingati. Cadangnya bila usia perkenalan mencecah usia 5 tahun barulah dia ingin menghadiahkan sesuatu yang bermakna untuk Rafi. Namun hanya jadi angan-angan yang berada di kaki langit, tidak akan dicapai meskipun memakai sejuta anak tangga untuk mendakinya. Kecewa bila lelaki yang dikasihi sepenuh hati tiba-tiba hilang dari pandangan. Hatinya mengeluh kehibaan tetapi tidak dapat merubah apa-apa. Asma memberanikan diri untuk menghantar pesanan ringkas kepada Rafi sempena ulang tahun Rafi yang ke-20 tahun.

- Selamat hari lahir yang ke 20 tahun. Semoga awak bahagia di samping orang yang awak sayang.

Ikhlas dari saya,

Asma Dhamirah.

Asma memejamkan mata bila air mata mula berlinangan. Terasa pedih ulu hati menahan rasa yang terpendam. Asma cuba melupakan rentetan peristiwa yang terjadi antara dia dan Rafi.

“ Awak, mengapa belakangan ni awak susah untuk menghubungi saya?” tanya Asma suatu hari ketika berserempak dengan Rafi yang kebetulan baru keluar dari kedai runcit berhampiran.

Rafi hanya membisu seribu bahasa. Asma bertanya lagi dengan suara yang lebih tegas.

“ Saya ada hal. Nanti saya mesej awak,” jawab Rafi dengan nada yang perlahan.

“ Baiklah, saya tunggu mesej awak,” kata Asma mengalah.

Sejurus kemudian Rafi melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Asma hanya mampu memandang sayu pemergian Rafi. Asma menanti mesej dari Rafi ibarat menunggu buah yang gugur. Kehampaan menyelubungi hatinya. Akan tetapi dia tetap berfikiran positif terhadap kekasih yang teramat disayanginya. Mungkin dia sibuk. Getus hati kecil Asma. Asma menyibukan diri dengan tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya. Namun tetap tidak dapat mengusir rasa yang bertandang sejak terserempak dengan Rafi. Dia cuba menghubungi Rafi tetapi tidak berjawab. Satu keluhan dilepaskan. Hatinya menangis. Dia cuba kelihatan biasa meskipun hatinya gundah gulana. Hari-hari berlalu tanpa menunggu Asma untuk membangkitkan hatinya yang rapuh.

“ Rifa’ah rafi, saya tunggu awak seperti yang saya katakan kepada awak hari itu. Mengapa awak langsung tidak mahu menunjukkan tanda-tanda akan menghubungi saya? Masih wujudkah rasa sayang dalam diri awak terhadap saya? Mengapa begini layanan awak terhadap saya? Sukarkah mempamerkan rasa yang ada? Sukarkah berterus terang kepada saya? Andai sahaja awak sudah ada pengganti, khabarkan pada saya. Meskipun duka yang awak palitkan di hati saya, tidak mengapa asalkan awak jujur dan berterus terang. Jangan sembunyikan kebenaran meskipun kebenaran itu pahit.”

Asma menghantar pesanan itu kepada Rafi dengan berharap Rafi berlaku jujur. Sejurus kemudian nada mesej berbunyi.

Awak, saya tak bermaksud hendak mendiamkan diri. Tetapi saya sedang mengalami masalah. Saya harap awak boleh bersabar menunggu saya”- Rafi.

“ Baiklah, andai itu yang awak harapkan. Maafkan saya kerana berfikir yang bukan-bukan terhadap awak.”- Asma.

“ Tidak mengapa. Apa yang penting, saya sayang awak walau apa pun yang akan terjadi kepada kita.”- Rafi.

Baiklah. Saya pun sayang awak”- Asma.

No comments:

Post a Comment